KUALA NERUS – Empat adik-beradik berusia lingkungan lima hingga sembilan tahun disyaki didera oleh bapa tirinya berikutan penemuan kesan lebam di beberapa bahagian badan dalam kejadian di sebuah rumah di Gong Badak di sini Khamis lalu.
Difahamkan suspek sering melepaskan rasa geram terhadap dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan tersebut dengan memukul mereka menggunakan rotan setiap kali bergaduh dengan isterinya.
Perbuatan jahat lelaki berusia 37 tahun itu dipercayai terbongkar selepas ibu kandung kepada kesemua kanak-kanak malang tersebut menceritakan kejadian sebenar kepada abangnya.
Tiga adik-beradik tersebut merupakan murid di sebuah sekolah rendah di sini manakala seorang lagi kanak-kanak berusia lima tahun masih belum bersekolah.
Tinjauan Kosmo! ke lokasi perumahan dimana keempat-empat mangsa disyaki didera mendapati rumah tersebut tidak berpenghuni.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu pihaknya kini sedang giat mengesan suspek.
“Selepas ibu kandung mangsa menceritakan kejadian tersebut kepada abangnya, keempat-empat beradik itu kemudiannya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di punggung dan kaki mangsa,” katanya.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – K! ONLINE










