KANGAR 10 Feb. – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azlan Man membidas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang disifatkan sebagai tidak matang apabila mempertikai tindakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menarik balik Darjah Kerabat (D.K.) Yang Amat Di-Hormati (Al-Yunusi) yang dianugerahkan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dalam masa sama, Azlan juga mengingatkan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu supaya lebih memahami tindakan Sultan Kelantan itu yang pastinya sudah melakukan pertimbangan terbaik sebelum menarik balik darjah kebesaran yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri itu.
Katanya, Syed Saddiq seharusnya faham bahawa baginda mempunyai hak untuk menganugerahkan atau menarik balik sesuatu darjah kebesaran itu kepada mana-mana individu yang dirasakan sudah tidak layak memilikinya.
“Saya rasa ini (pertikai keputusan Yang di-Pertuan Agong) sebagai tindakan tidak matang. Jadi kita sendiri boleh menilai keperibadian dia (Syed Saddiq) ini bagaimana melalui tindakan tersebut.
“Syed Saddiq ini dilihat menuntut sesuatu yang dia sendiri tidak faham sebenarnya,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) masyarakat Siam negeri ini di dewan orang ramai Kampung Padang Petani Jejawi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Syed Saddiq yang mempertikaikan keputusan Istana Kelantan melucutkan darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Dr. Mahathir melalui video yang dimuat naik di Twitternya semalam.
Video berdurasi 1 minit 32 saat yang ditujukan kepada Yang di- Pertuan Agong itu bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan Syed Saddiq itu yang disifatkan cukup biadab dan tidak menghormati institusi diraja.
Dalam masa sama, kebanyakkan netizen juga menyifatkan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baharu berusia 26 tahun itu sebagai masih mentah dan tidak layak sama sekali menegur Sultan Muhammad V.
Sebelum ini, Syed Saddiq turut melakukan tindakan sama apabila telah menulis sepucuk surat terbuka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan menyangkal titah baginda bahawa Dr. Mahathir telah menghina masyarakat Bugis dalam ucapannya sewaktu Himpunan Selamatkan Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi tahun lalu.- UTUSAN ONLINE
MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB









