LIMBANG 9 Feb. – Seorang bekas kerani dihukum penjara 44 bulan dan sebatan 103 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah terhadap 103 tuduhan melakukan pecah amanah sehingga menyebabkan seorang warga emas mengalami kerugian lebih RM50,000, tahun lalu.
Hakim Mohd. Hafizi Abdul Halim menjatuhkan hukuman tersebut ke atas bekas kerani Maybank Cawangan Limbang, Khusairie Fanzi Aladin, 34, yang membuat pengakuan bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu pada Rabu lalu.
Mengikut pertuduhan, Khusairie didakwa melakukan pecah amanah yang mengakibatkan seorang wanita berusia 68 tahun mengalami kerugian RM53,870.64 antara 3 April dan 4 Jun tahun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan serta boleh didenda.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Dayang Zunainah Razali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah memberitahu, tertuduh berjaya ditahan pasukannya bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah diketuai Asisten Superintenden Arthur Medang, Selasa lalu.
Katanya, modus operandi tertuduh dengan mendaftarkan akaun Maybank2u mangsa menggunakan telefon bimbit atas namanya.
“Tertuduh kemudian memindahkan wang daripada akaun mangsa secara atas talian sebanyak 103 transaksi melibatkan jumlah kerugian berkenaan,” ujarnya.










