KUCHING 9 Feb. – Sindiket judi siber di negeri ini mengubah taktik mereka apabila menggunakan perkhidmatan isian semula yang boleh dibeli oleh kaki judi di kedai kopi dan kedai serbaneka bagi meneruskan aktiviti judi dalam talian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk S. Dev Kumar berkata, walaupun berjaya menghapuskan premis judi siber di negeri ini sindiket terlibat mengubah kaedah kegiatan mereka dengan menyasarkan perkhidmatan isian semula untuk kaki judi terbabit.
Menurutnya, polis kini berdepan cabaran mengesan aktiviti itu yang menggunakan modus operandi dalam talian kerana kaki judi bermain menggunakan telefon bimbit, tablet atau komputer.
Selain itu, katanya, mereka juga licik menyembunyikan kegiatan jenayah tersebut apabila tidak beroperasi di premis tetap sebaliknya membekalkan perkhidmatan isian semula yang dijual melalui orang tengah iaitu pemilik kedai kopi dan kedai serbaneka tertentu.
“Setiap minggu, pasukan JSJ dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan daerah-daerah melakukan serbuan di kedai serbaneka serta kedai kopi yang disyaki terlibat bekerjasama dengan sindiket menjual perkhidmatan isian semula bagi judi dalam talian.
“Namun, pihak polis hanya boleh melakukan pemeriksaan dan rampasan terhadap peralatan yang digunakan kerana tiada undang-undang boleh digunakan bagi mendakwa penjual terbabit ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Sarawak di Mes Pegawai Kanan, IPK negeri di sini hari ini.
Dev Kumar menyaksikan majlis serah terima tugas antara Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Sarawak, Asisten Komisioner Lee Moh Lee yang bersara wajib esok kepada penggantinya, Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya giat mengesan dalang yang menaja aktiviti perjudian itu, di samping mengkaji penggunaan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasaan) 2014 untuk mendakwa individu terlibat dalam perjudian tersebut.
Dalam perkembangan lain, katanya, trend indeks jenayah di Sarawak didapati berterusan menurun sejak 2008 sehingga tahun lalu.










