PUTRAJAYA 8 Feb. – Tiga persatuan yang mewakili lebih 3,000 hotel di negara ini hari ini menandatangani aku janji bagi menetapkan tiada sebarang polisi yang melarang pekerja wanita daripada mengenakan tudung.
Persatuan-persatuan yang menandatangani aku janji bersama Kementerian Sumber Manusia itu adalah Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MYBHA) dan Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO).
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib berkata, pihaknya berbesar hati dengan kesungguhan setiap pihak terlibat untuk menangani isu diskriminasi terhadap pekerja itu.
“Melalui aku janji ini diharapkan hotel yang terlibat akan mematuhi segala yang telah dipersetujui dan isu larangan bertudung tidak akan timbul lagi kerana kerajaan dan Kementerian Sumber Manusia tidak akan sesekali berkompromi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan wakil tiga persatuan hotel berkenaan menandatangani persefahaman aku janji dengan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd. Jeffrey Joakim di sini.
Wakil-wakil persatuan yang terbabit adalah Presiden MAH, Cheah Swee Hee; Ahli Majlis MYBHA, Mohamed Zamri Mohamed Rashid dan Pengarah Eksekutif MAHO, Shaharuddin M. Said.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar dan Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal.
Polisi larangan bertudung terhadap pekerja wanita beragama Islam yang dikenakan beberapa hotel di negara ini telah menimbulkan kontroversi sejak beberapa bulan lalu dengan 13 hotel didapati melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) berkenaan.










