PELUMBA harapan negara, Hafizh Syahrin Abdullah menegaskan, dia kini dalam keadaan bersedia untuk bergabung tenaga dengan pasukan Monster Yamaha Tech3 pada sesi ujian pramusim di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand yang bermula 16 hingga 18 Februari ini.
Pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu melemparkan keyakinan akan memberikan aksi terbaik meskipun ramai meragui kemampuannya untuk bersama pasukan gergasi Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) tersebut di Buriram.
Pada Selasa lalu, Hafizh dilaporkan bersama pasukan Monster Yamaha Tech3 bagi menggantikan tempat Jonas Folger untuk ujian pramusim selepas pelumba Jerman itu membuat keputusan bersara ekoran berdepan masalah kesihatan.
“Ini adalah impian saya sejak kecil untuk bersama pasukan bertaraf dunia. Saya tiada pilihan lain selain mempamerkan tunggangan yang cemerlang di sana.
“Kini semua tumpuan terarah kepada saya, namun saya yakin dengan persiapan fizikal rapi di Sepanyol dapat membantu saya meraih keputusan positif.
“Sebagai persediaan, saya tetap menjalani latihan keras di Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Buriram pada 14 Februari ini,” katanya sejurus tiba di Kuala Lumpur dari Sepanyol petang semalam.
Ditanya mengenai jentera yang akan digunakannya di Buriram, Hafizh memberitahu, dia tidak terlalu memilih, sebaliknya menyerahkan kepada pasukannya untuk membuat pilihan.
“Difahamkan, pasukan Yamaha Tech 3 akan membawa dua jenis jentera iaitu M1 2016 dan 2017. Saya tidak mahu membuat pilihan kerana saya tiada pengalaman membawa kedua-dua jentera berat tersebut.
“Jika dibenarkan, saya ingin mencuba kedua-dua jentera terbabit. Ini adalah litar baharu dan kemungkinan semua pelumba akan melakukan yang terbaik. Misi saya kali ini untuk mendapatkan rekod sepusingan yang cemerlang,” ujar Hafizh.
Kini, pelumba berusia 23 tahun itu hanya tinggal selangkah untuk melakar sejarah menjadi pelumba MotoGP pertama Asia Tenggara, namun perlu membuktikan sesuatu ketika menguji jentera pasukan keempat terbaik saingan musim 2017 itu nanti.










