CAPE CANAVERAL, Florida 7 Feb. – Roket paling berkuasa di dunia milik SpaceX dilancarkan ke angkasa lepas semalam dalam ujian penerbangan pertamanya.
Roket diberi nama Falcon Heavy itu dilaporkan membawa bersama sebuah kereta sport bagi mewujudkan sensasi ‘pemanduan’ melepasi planet Marikh.
Falcon Heavy dilancar menggunakan tiga alat lajakan dan 27 enjin di Pusat Angkasa Lepas Kennedy sambil disaksikan ribuan penduduk yang setia menunggu di tepi pantai, jambatan dan jalan.
Dua daripada tiga alat lajakan yang pernah digunakan untuk beberapa pelancaran roket sebelum ini dilaporkan mendarat di Cape Canaveral manakala satu lagi alat lajakan tidak dapat dipastikan sama ada berjaya mendarat di platform lautan yang terletak kira-kira 482 kilometer dari pantai.
Roket yang turut membawa kereta sport milik Ketua Eksekutif SpaceX, Elon Musk itu bakal mencatat sejarah baharu mengenai revolusi angkasa lepas.
Musk berkata, ujian roket biasanya akan membawa konkrit atau blok besi dan keadaan itu membosankan.
Sehubungan itu, beliau membuat keputusan untuk menghantar kereta sport peribadinya ke angkasa lepas.
“Saya suka dengan gambaran kereta terapung-apung di ruang angkasa lepas dan mungkin kenderaan itu akan ditemui oleh mahkluk asing pada masa akan datang,” tulisnya di Twitter.
Turut disertakan dalam misi tersebut adalah patung angkasawan yang diletakkan di tempat duduk kereta sport berkenaan.
Kemampuan roket tersebut disamakan dengan 18 pesawat Boeing 747 yang berupaya membawa kargo berat seperti satelit ke angkasa lepas. – AP











