SEGAMAT 7 Feb.- Seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran di Majlis Perbandaran Segamat (MPS) direman bagi membantu siasatan berhubung kes suapan berjumlah RM5,000.
Mahkamah Majistret di sini membenarkan tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini terhadap suspek yang berusia 57 tahun.
Perintah tahanan reman hingga 13 Februari ini dikeluarkan Pendaftar Mahkamah, Ahmad Shakib Ismail Noraishah Ahmad.
Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga dibawa ke mahkamah pukul 9.20 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, penolong pegawai tersebut ditahan di pejabat SPRM Cawangan Segamat pukul 2.30 petang semalam bagi membantu siasatan kes berkaitan rasuah.
Suspek disyaki menerima RM5,000 daripada pengurus sebuah syarikat pengurusan program dan acara sebagai dorongan menyokong permohonan menganjurkan program di daerah ini pada 2018.
Dalam satu serbuan yang dibuat di pejabat suspek di Jalan Buluh Kasap di sini, pasukan penyiasat SPRM menyita beberapa dokumen berkaitan program berkenaan. – UTUSAN ONLINE










