KUALA LUMPUR 7 Feb. – Penyanyi Syamel menafikan sekeras-kerasnya dia kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan rakan duetnya, Ernie Zakri.
Dakwaan itu makin kuat bertebaran apabila penyanyi yang merupakan bintang Akademi Fantasia 2015 itu ada memanggil Ernie dengan panggilan ‘sayang’.
“Orang mungkin terdengar saya panggil Ernie dengan perkataan ‘sayang’. Macam-macam orang boleh cakap tapi jujurnya kami tak bercinta pun.
“Panggilan itu sekadar bergurau sahaja. Mungkin orang lihat kami sering bersama kerana ada lagu duet, sebab itu hal itu timbul.
“Dia sahabat baik saya sebab itu kami sudah terbiasa dengan panggilan itu,” katanya kepada Utusan Online.
Syamel ditemui pada majlis pelancaran muzik video artis Rocketfuel Entertainment, di Red Box, Pavilion di sini.
Dalam pada itu Syamel, 24, tidak berniat untuk menyorokkan sebarang kisah percintaan dan soal jodoh kepada semua.
“Kami memang kawan baik. Nak sorok buat apa, kalau betul saya cakap benda yang betul lah.
“Buat masa ini nak fokus pada karier seni dan banyak lagi komitmen yang perlu saya dahulukan sebelum benar-benar bersedia nak pikul tanggungjawab lain,” jelasnya.
Penyanyi lagu Hidup Dalam Mati itu diminta mengulas gosip ruangan pojok di sebuah akhbar tempatan yang mendakwa mereka sedang berkasih dan memanggil Ernie dengan gelaran ‘sayang’. – UTUSAN ONLINE










