KUANTAN – Keletihan dan ketiadaan beberapa tonggak utama adalah antara beberapa faktor menyebabkan skuad Tok Gajah sekadar seri 1-1 dengan PKNP FC pada saingan Liga Super semalam.
Pengendalinya, Dollah Salleh mengakui persembahan pasukan Pahang begitu berbeza jika dibandingkan dengan corak permainan semasa menentang Selangor yang membolehkan pasukannya dinobatkan sebagai juara Piala FA pada Sabtu lalu.
“Pada separuh masa pertama, pergerakan pasukan boleh dikatakan serba tidak menjadi dan mereka cuba bangkit pada separuh masa kedua, bagaimanapun gagal mencipta banyak peluang.
“Saya menyedari rata-rata pemain keletihan di samping ketiadaan beberapa tonggak utama.
“Sukar untuk mengerahkan mereka dalam situasi itu tapi ia sepatutnya tidak dijadikan alasan,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di Stadium Darul Makmur di sini semalam.
Dollah bagaimanapun optimis pasukannya akan bangkit pada perlawanan bertemu Perak pada Sabtu ini dan beliau tekad memastikan anak didiknya kembali fokus untuk memenangi empat baki perlawanan bagi memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super. – Bernama











