KUALA LUMPUR 11 Julai – Kerajaan negeri Johor dinasihatkan lebih kreatif memikirkan nilai tambah baharu terhadap segala inisiatif yang dijalankan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini di negeri itu dan bukan diteruskan secara bulat-bulat.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, hanya dengan berbuat demikian, hasil tangan dan nilai tambah daripada kerajaan Pakatan Harapan itu dapat dilihat dan dinilai oleh semua pihak.
Katanya, pembaharuan perlu difikirkan di samping meneruskan inisiatif lama yang beliau bersama pasukan UMNO dan BN usahakan sebelum selagi mana ia bermanfaat kepada rakyat Johor.
“Sekalipun sesetengah program tersebut telah ditukar nama dan label rasminya, saya amat gembira, malah berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana meneruskan semua itu. Kami pastinya tidak akan mengambil pendekatan ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’ dalam perkara ini.
“Akan tetapi, adalah tidak salah untuk saya tegaskan bahawa penerusan segala inisiatif dan dasar tersebut sebetulnya satu pengiktirafan yang menunjukkan betapa usaha UMNO dan BN sebelum ini benar-benar memberi manfaat dan memenuhi kehendak serta keperluan rakyat Johor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Naib Presiden UMNO itu menambah, pengambilan inisiatif kerajaan negeri baharu terhadap usaha yang dilakukan kerajaan terdahulu itu menggambarkan dengan jelas bahawa beliau dan pasukannya sebelum ini melakukan perkara yang betul dan perlu kepada negeri Johor.
“Malah ia menunjukkan bahawa perbelanjaan kewangan negeri sebelum ini diuruskan dengan baik, berhemah dan strategik.
“Pada masa yang sama, saya amat berharap beberapa idea besar dan penting yang diusahakan dan dirancang oleh pentadbiran saya sebelum ini akan diberikan perhatian sewajarnya oleh Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian antaranya penterjemahan Agenda Johor Islami, sistem imbuhan dan pembinaan kapasiti guru-guru agama Johor dan pembesaran lebuh raya di negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, sebagai negeri yang mempunyai sistem sekolah agama yang besar dan menyeluruh, Osman sepatutnya menjadi suara yang tegas dalam pelbagai tekanan dan serangan untuk menutup sekolah agama dan pusat tahfiz yang kini lantang disuarakan pihak-pihak tertentu.
“Jika tidak, tidak mustahil institusi sekolah agama di Johor akan turut menerima tempias dan tekanan dari pemikiran liberal yang tidak memberi sokongan kepada sekolah agama dan pusat tahfiz,” katanya.











