LIPIS 11 Julai – Seramai 60 orang terdiri daripada peminat sukan ekstrem dan penggiat pelancongan menyertai program ReHogoh Merapoh Caves anjuran SGI Outdoor Merapoh di Gua Batu Kapur Merapoh dekat sini baru-baru ini.
Program dua hari itu merupakan kerjasama pelbagai pihak termasuk Tourism Malaysia, Tourism Pahang, Managa, Persatuan Belia Seri Merapoh, Petzl, Allsport Equipment dan Pejabat Daerah Lipis.
Penyelaras program berkenaan, Mohd. Syukri Jali, 40, berkata, penganjuran ReHogoh Merapoh Caves antara usaha untuk merancakkan sektor pelancongan dan hospitaliti di negeri ini, khususnya di Merapoh dengan melibatkan penyertaan pengusaha bidang itu serta penggiat sukan ekstrem tempatan dan antarabangsa.
“Program ini dapat memperkenalkan Kompleks Gua Batu Kapur Merapoh sebagai lokasi kegiatan sukan ekstrem, riadah dan rekreasi, di samping pengetahuan tentang sejarah serta geologi di lokasi ini.
“Kami menggabungkan pemain sektor pelancongan dan hospitaliti dari Lembah Klang dan tempatan termasuk pertubuhan belia dengan kerjasama Tourism Pahang sebagai strategi merancakkan kehadiran ramai pengunjung ke sini,” katanya baru-baru ini.
Menurut Mohd. Syukri, perkataan ‘hogoh’ dalam program itu menterjemahkan komitmen bersungguh-sungguh penganjur dengan merangsang minat peserta melakukan kegiatan ekstrem iaitu mendaki dan menjelajah beberapa buah gua batu kapur di situ.
“Usaha ini memberi manfaat kepada pengusaha tempatan yang terdiri daripada penduduk Merapoh memperoleh pendapatan menerusi bidang hospitaliti, pengangkutan, makanan dan pemandu pelancong,” ujarnya.
Dalam tempoh program itu, tambahnya, para peserta menikmati keseronokan ketika mengeksplorasi beberapa buah gua dan berdepan dengan cabaran menerusi aktiviti mendaki serta mempelajari selok-belok kemahiran mendaki laluan curam di Taman Ekstrem Gua Lima.
“Peserta juga berpeluang menikmati keindahan persekitaran dan menguji ketahanan fizikal serta mental,” katanya.
Sementara itu, seorang peserta dari Helsinki, Finland, Venla Lavonen, 21, berkata, penganjur berjaya merancang aktiviti dengan lancar dan dia berpuas hati apabila berpeluang mendaki laluan curam serta melihat sendiri keindahan gua yang dipilih sempena program tersebut.
“Perjalanan merentasi denai dan hutan Taman Negara Sungai Relau sebelum memasuki kawasan kaki gua batu kapur juga menyajikan keindahan alam sekitar yang jarang terdapat di destinasi percutian lain,” ujarnya.











