Pecahkan botol arak depan pejabat SUK, Jamal didenda RM400 - Utusan Malaysia

Pecahkan botol arak depan pejabat SUK, Jamal didenda RM400

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 11 Julai – Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini tahun lalu.

Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Jamal, 48, selepas Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu mengaku melakukan kesalahan berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan Jamal dipenjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jamal didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan pintu pagar utama Bangunan SSAAS kira-kira pukul 10.15 pagi pada 5 Oktober 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Amirah Haziqah Zulkifli mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM400.

Jamal diwakili peguam Datuk Mohd. Imran Tamrin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×