Kuala Lumpur 11 Julai – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengambil maklum kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung peningkatan kos keseluruhan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dan akan berusaha giat untuk mengurangkan lagi kos tersebut.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Masnizam Hisham berkata, pengurusan Prasarana telah mula mengurangkan kos projek tersebut sejak Februari lalu dan akan terus bekerjasama erat dengan Kementerian Kewangan dan Rakan Penyampai Projek (MRCB-GK) untuk mengenalpasti peluang-peluang tambahan untuk mengurangkan kos projek tersebut.
Semalam, kementerian tersebut mengarahkan Prasarana menyemak semula kos projek pembinaan landasan LRT3 bagi memastikan projek tersebut dapat diteruskan.
Guan Eng berkata, kementerian tidak akan menyokong sebarang pembiayaan tambahan jika tiada pengurangan kos LRT3 yang drastik selain tidak menjejaskan integriti jajaran rel, keselamatan dan kualiti perkhidmatan yang diberikan. – UTUSAN ONLINE











