SAINT PETERSBURG – Perancis kini selangkah lagi untuk bergelar juara Piala Dunia buat kali kedua apabila berjaya mara ke final edisi 2018 di Rusia dengan menjinakkan pasukan Belgium, 1-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Saint Petersburg, Rusia pagi ini.
Pemain pertahanan Barcelona, Samuel Umtiti menjadi wira Perancis apabila menanduk masuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-51 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang babak pertama.
Kedua-dua pasukan sebelum ini mempunyai 73 rekod pertemuan di mana Belgium memiliki kelebihan dengan menang 30 kali berbanding Perancis 24 perlawanan manakala 19 perlawanan lagi berakhir dengan seri.
Bagaimanapun dalam kempen Piala Dunia, Perancis lebih mendominasi selepas menang dua kali ketika edisi 1938 (3-1) dan penentuan tempat ketiga/keempat edisi 1986 (4-2).
Skuad Les Bleus muncul juara kali pertama ketika menjadi tuan rumah pada edisi 1998 dan hampir menjulang trofi kedua di Jerman pada 2006, namun tewas 5-3 kepada Itali di final menerusi sepakan penalti.
Kali ini skuad kendalian Didier Deschamp itu berpeluang menebus kegagalan tersebut apabila mara ke final kali ketiga untuk bertemu pemenang di antara Croatia atau England yang akan berentap dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Bagi Belgium, pasukan No. 3 dunia, kekalahan ini sesuatu yang sukar diterima kerana mereka mula dilabel selaku pasukan pilihan setelah melakukan kejutan dengan mara ke separuh akhir buat kali kedua, menyamai pencapaian pada 1986.
Namun, The Red Devils kali ini dilihat berpeluang untuk mara ke final, malah ramai yang menganggap mereka mampu menjulang gelaran dunia sulung di Rusia ini setelah memiliki satu skuad yang mantap dibarisi ramai pemain bintang seperti Eden Hazard, Romelu Lukaku dan Kevi De Bruyne.
Meskipun menguasai awal permainan dan mengasak kubu Perancis sepanjang babak pertama, Belgium dilihat bergelut mencari penyudah di depan pintu gol apabla setiap gerakan mereka tidak menjadi serta dipatahkan pertahanan Perancis yang dibarisi Umtiti dan Raphael Varane.
Malah, ini kali pertama Belgium gagal mencetak sebarang gol dalam kempen ini setelah beraksi cemerlang di peringkat kumpulan sehingga saingan suku akhir. – K! ONLINE











