BUENOS AIRES – Selepas gagal membawa skuad Argentina menjulang gelaran Piala Dunia di Rusia, bintang Barcelona, Lionel Messi diminta meninggalkan skuad tersebut selepas gagal menyumbang apa-apa kepada pasukan tersebut.
Kekalahan tersebut sekali gus membawa kemarahan kepada penyokong setia Argentina apabila kali terakhir mereka menjulang Piala Dunia kira-kira 32 tahun lalu di Mexico 1986.
Messi ternyata gagal membawa skuad tersebut yang merupakan finalis 2014 untuk berada pada peringkat yang lebih tinggi sebaliknya hanya me-raih satu kemenangan ke atas Nigeria, seri dengan Iceland dan tewas kepada pasukan Croatia dalam peringkat Kumpulan D.
Justeru itu, legenda Argentina yang meraih kejuaraan Piala Dunia 1978, Mario Kempes menuntut bintang sensasi Barcelona tersebut berehat daripada menyer-tai sebarang perlawanan antarabangsa bersama pasukan kebangsaan melainkan Argentina terdesak mendapatkan barisan penyerang terbaik.
“Bagi saya, Messi seharusnya bersara daripada menyertai pasukan kebangsaan kerana sepanjang beraksi dalam saingan Piala Dunia tiada apa yang dia mampu lakukan untuk muncul juara.
“Mereka seharusnya menggunakan pemain yang beraksi di Argentina dan jika tiada pilihan lain mereka boleh mendapatkan khidmat Messi tetapi saya rasa sebaiknya dia (Messi) berehat dan fokus kepada kelabnya,” katanya.
Dalam pada itu, Kempes turut menyelar apabila Argentina yang tidak memiliki karakter juara apabila beraksi dalam keadaan tertekan.
“Dia (Messi) adalah tonggak utama kepada pasukan dan jika tidak dia tidak cemerlang dalam perlawanan tersebut segalanya akan menjadi kucar-kacir. Tiada orang lain selain Messi yang mampu memikul tanggungjawab tersebut sebagai kapten. Pemain Argentina tiada keberanian pada kempen kali ini,” tegasnya. – Agensi











