SEKITAR empat tahun lalu, filem 3D animasi-komputer Big Hero 6 menjadi fenomena hebat dalam kalangan penonton. Terutama sekali watak robot comel bernama Baymax yang kaya dengan telatah melucukan.
Buat peminatnya, tidak ada yang mampu melupakan dialog Baymax sebagai penjaga kesihatan ‘pada skala 1 hingga 10, bagaimana kadar kesakitan anda?’
Kini, watak ikonik Baymax serta ‘tuannya’, Hiro Hamada diaktifkan kembali menerusi siri kartun televisyen berjudul Big Hero 6 The Series yang kini sedang rancak ditayangkan di saluran Disney Channel (Astro 615) sejak 25 Mei lalu.
Kosmo! berpeluang mewawancara penerbit eksekutif siri kartun tersebut baru-baru ini iaitu Mark McCorkle dan Bob Schooley melalui panggilan telefon. McCorkle dan Schooley berbesar hati diberi tanggungjawab untuk menyambung pengembaraan filem animasi tersebut ke kaca televisyen.
“Filem Big Hero 6 sememangnya sudah menjadi satu karya yang hebat. Kami cuma diberi tanggungjawab untuk meneruskan kehebatan filem ke kaca televisyen tanpa perlu dibayangi kejayaan filem.
“Sebelum Big Hero 6 ditayangkan kepada umum, kami sudah menontonnya terlebih dahulu dan dengan cepat, mendapat idea untuk mengembangkan naratif filem tersebut ke medium yang lebih berpanjangan iaitu siri kartun,” jelas McCorkle.
Permulaan baharu
Sementara itu, Schooley berkata, Big Hero 6 The Series terus mengembangkan jalan cerita yang dipelopori dua watak utama iaitu Baymax dan Hiro Hamada.
“Dalam filem, Hiro dikenali sebagai seorang budak yang mempunyai masalah disiplin dan akhirnya berubah menjadi seseorang yang berguna selepas tragedi menimpa abangnya.
“Dalam siri kartun ini, Hiro terus memperbaiki diri bersama robot kesayangan Baymax yang sentiasa mencuit hati orang ramai. Boleh dikatakan, versi televisyen adalah permulaan baharu buat watak Hiro dan juga Baymax,” tutur Schooley bersemangat.
Ditanya ada yang berpendapat produksi Big Hero 6 mempunyai masalah tertentu sehingga ‘diturunkan’ kepada versi siri animasi televisyen, McCorkle dan Schooley tidak berpendapat sebegitu.
“Ada banyak perkara yang ingin dirungkai dalam Big Hero 6 yang hanya mampu dilakukan dalam bentuk siri. Filemnya sudah hebat dan menang banyak anugerah seperti Academy Awards (Filem Animasi Terbaik). Kami hanya dipertanggungjawabkan untuk membuat siri animasi sehebat mampu.
“Hebat termasuk dari segi rekaan dan perkembangan karakter. Ini bukan tentang untuk mengatasi kehebatan versi filem tetapi lebih kepada menyambung fantasi penonton yang sudah jatuh hati dengan versi filem,” jelas McCorkle sambil dipersetujui Schooley.
Mengakui Baymax adalah ‘jantung’ kepada naskhah berkenaan, itu bukanlah alasan untuk tidak mengembangkan karakter lain seperti Go Go Tomago, Honey Lemon dan Wasabi.
“Dalam siri animasi, tumpuan bukan hanya terarah kepada Baymax dan Hiro. Watak-watak lain turut diberi peluang untuk menyerlah kerana mereka juga sama penting dalam menghidupkan jalan cerita.
“Banyak juga watak lain yang diperkenalkan seperti Professor Granville, Obake dan Globby. Mereka membuatkan keseronokan semakin memuncak dan membuatkan peminat sisi animasi ini terus bercambah,” jelas Schooley lagi.
Seperti versi filem, Big Hero The Series masih mengunakan khidmat alih suara pelakon asal seperti Ryan Potter sebagai Hiro Hamada, Scott Adsit (Baymax), Jamie Chung (Go Go Tomago), Genesis Rodriguez (Honey Lemon), Khary Payton (Wasabi) dan Brooks Wheelan (Fred).











