LONDON 8 Julai – Pasangan kembar, Lindsey Taunt dan Kirsty Baker sering berkongsi apa sahaja bersama-sama.
Malahan, apabila Lindsey membuat keputusan untuk mengurangkan berat badannya, Kirsty juga berbuat demikian bagi membolehkan dirinya serupa antara satu sama lain.
Dengan sokongan dan inspirasi antara satu sama lain, pasangan kembar berkenaan berjaya menurunkan berat badan sebanyak 88 kilogram.
Lapor Mirror UK, keputusan mereka untuk menurunkan berat badan memberi hikmah kepada pasangan kembar tersebut selepas doktor mendapati Lindsey serta Kirsty berkongsi penyakit bawaan genetik serupa yang boleh meningkatkan risiko serangan jantung.
Penyakit tersebut boleh menjadi lebih teruk disebabkan berat badan mereka yang berlebihan sebelum ini.
“Apabila berat badan Lindsey mulai turun, tidak mungkin saya akan ketinggalan daripadanya. Kehilangan berat badan dengan kembar umpama melihat diri sendiri di cermin.
“Kami tidak mungkin dapat melakukan ini dengan sendirinya. Melakukannya bersama-sama membuat kami lebih bersemangat,” kata Kirsty.
Kirsty mengalami sakit jantung ketika hamil pada 2013.
“Syukur saya tidak mengalami apa-apa masalah dan anak saya, Evan berjaya dilahirkan dengan selamat. Tetapi doktor mendapati penyakit jantung berkenaan akibat pembekuan darah bawaan genetik yang saya dan Lindsey hidap.
“Mereka berkata berat badan saya adalah punca utama. Jadi kami perlu melakukan sesuatu tentang itu,” ujar Kirsty.











