PONTIAN 8 Julai – Koperasi Nelayan Ayer Baloi (KNAB) akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan bagi mendapatkan kawasan seluas 100 hektar untuk menjalankan ternakan kerang di laut Ayer Baloi.
Pengerusinya, Salahuddin Jantan berkata, kawasan tersebut yang menghala ke Sanglang dikenali pasti berpotensi mempunyai banyak benih kerang yang boleh dijadikan sumber pendapatan baharu kepada golongan nelayan.
Beliau berkata, KNAB yang mempunyai ahli seramai 37 orang yakin ternakan kerang tersebut mampu memberikan pulangan lumayan pada masa depan, iaitu boleh memperoleh antara RM1,200 hingga RM1,500 sehari apabila makanan laut itu mencapai tempoh matang.
“Penilaian yang dibuat nelayan mampu ‘menyauk’ kerang sebanyak 500 kilogram (kg) sehari yang boleh dipasarkan pada harga RM4 kg,” katanya pada majlis perjumpaan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Taqiuddin Cheman di Pengkalan Nelayan Ayer Baloi, dekat sini baru-baru ini.
Salahudin berkata, permohonan tersebut sejajar dengan usaha menjadikan Pontian sebagai hab kerang negara seperti yang diumumkan oleh Jabatan Perikanan, baru-baru ini.
“Dengan adanya kawasan yang dikhaskan itu, proses mengeluarkan kerang akan sentiasa dipantau oleh pihak koperasi dan ahli-ahli tidak dibenar mengambilnya sekiranya saiz belum besar,” katanya sambil memberitahu pihaknya juga ingin memohon peruntukan sebanyak RM500,000 bagi menaik taraf Pengkalan Nelayan Ayer Baloi.
Menurutnya, tiga komponen utama yang diberikan perhatian ialah membina atau menaik taraf jeti sedia ada sesuai dengan kawasan pengeluaran kerang negara serta membina empat unit rumah kedai dan cadangan membina bengkel bagi membaiki bot nelayan bagi mengurangkan kos.
Pihaknya juga akan mengemukakan permohonan bagi mendapatkan lesen menduduki sementara (LPS) bagi tapak Pengkalan Nelayan Ayer Baloi serta mengecualikan bayaran sebanyak RM400 setahun.
Katanya, Pengkalan Nelayan Ayer Baloi juga akan dijadikan kawasan pasar malam pada hujung minggu bagi memberikan pendapatan tambahan kepada koperasi serta golongan nelayan yang menjual hasil tangkapan mereka.











