MARANG 8 Julai _ Kementerian Pendidikan tidak mahu lagi gejala biasa projek pembangunan sekolah terbengkalai dan begitu lewat disiapkan berterusan berulang dalam era kerajaan baharu kini.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengingatkan kerajaan tidak akan berkompromi lagi dalam soal yang menjejaskan aspek pembelajaran itu dan mengingatkan kontraktor yang bertangungjawab membinanya termasuk membaik pulih memastikan dapat disiapkan mengikut jadual.
“Dalam tempoh lima tahun ini, kita tidak mahu kedengaran terdapat projek terbengkalai dan sekolah daif yang tidak dipulihkan.
“Oleh itu, saya gesa kontraktor yang diberi tanggungjawab agar menyiapkan segera sebagaimana jadual ditetapkan, jika gagal, kita akan mengambil tindakan sewajarnya dan saya akan muncul pada bila-bila masa sahaja,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa mengadakan lawatan mengejut ke Sekolah Kebangsaan Seberang Marang, di sini hari ini selepas meninjau ke beberapa projek pembinaan lain termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Marang di Kampung Paya.
Dr. Maszlee menyifatkan Sekolah Kebangsaan Seberang Marang yang daif mempunyai seramai 620 murid menghadapi masalah agak serius berikutan kerja-kerja pembinaannya tidak menepati jadual ditetapkan, menyebabkan dua kelas murid tahun dua terpaksa ditempatkan di bilik makmal.
“Saya meminta pihak kontraktor dapat mempercepatkan kerja-kerja yang diserahkan, kalau gagal kita terpaksa mengambil tindakan tegas dengan kembalikan kepada terma-terma perjanjian.
“Kita akan terus membuat pemantauan untuk memastikan supaya kerja-kerja mengikut jadual. Kita berharap semua kontraktor membaik pulih projek sekolah di seluruh negara perlu mendahului jadual ditetapkan tanpa mengabaikan aspek kualiti dan keselamatan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











