Sila semak dengan SPA - Syed Saddiq - Utusan Malaysia

Sila semak dengan SPA – Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan pegawai kanan yang bakal dilantik untuk bekerja dengannya dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hanya akan diumumkan pada minggu depan.

Ahli Parlimen Muar itu dikritik hebat selepas didakwa melantik pejuang golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender sebagai pegawai khas KBS selepas informasi tersebut tular dalam laman sosial minggu ini.

Namun, Syed Saddiq menegaskan bahawa beliau masih belum menandatangani mana-mana dokumen lantikan kerana masih memerlukan masa untuk meneliti dan mencari kumpulan pekerja yang terbaik.

“Jalan paling mudah adalah untuk melihat senarai lantikan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Ia adalah jalan paling mudah untuk meneliti sekiranya ada nama-nama yang dilantik menjadi pegawai kerajaan.

“Apa yang pasti, saya masih belum menandatangi sebarang dokumen ketika ini kerana saya mahu meneliti terlebih dahulu (senarai nama) dan bakal mengambil yang terbaik untuk bekerja dengan saya.

“Ketika ini, saya boleh sahkan tiada lantikan rasmi dan kemungkinan kekosongan di posisi pegawai akan  diumumkan pada minggu depan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Syed Saddiq ditemui ketika merasmikan majlis penutup Kejohanan Taekwondo Remaja Nestle Koko Krunch ke-13 di Stadium Juara, Bukit Kiara petang tadi.

Dalam perkembangan sama, Syed Saddiq turut tidak menolak berkemungkinan bakal mengembalikan sukan taekwondo dalam senarai sukan teras selepas ia digugurkan oleh bekas menteri KBS, Khairy Jamaluddin tahun lalu.

“Antara maklumat awal yang saya diberitahu ketika masuk ke pejabat KBS minggu ini adalah mengenai pengguguran sukan taekwondo dalam senarai sukan teras di Malaysia.

“Mungkin kami di pihak KBS akan melakukan satu mesyuarat dalam masa terdekat bersama persatuan-persatuan terbabit untuk mencari jalan penyelesaian dan bergerak ke hadapan bersama,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×