KUALA LUMPUR 7 Julai – Pas merakamkan ucapan tahniah atas tindakan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membenarkan pendakwah Islam, Dr. Zakir Naik untuk terus berada di Malaysia sebagai warga pemastautin.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan Dr. Mahathir selaras dengan kedudukan Zakir sebagai pemastautin tetap dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membela dan mempertahankan maruah pendakwah Islam tersebut.
“Kenyataan tegas Perdana Menteri mempertahankan beliau adalah satu langkah tepat selaras dengan dasar Islam melindungi umatnya daripada menjadi mangsa penganiayaan dan kezaliman di mana sahaja.
“PAS tegas dengan prinsip menyokong dan mendokong segala tindakan makruf yang diambil oleh pihak kerajaan, dan menentang kemungkaran dan perpecahan. Ini adalah selaras dengan dasar budaya politik matang dan sejahtera dan konsep At-taawun yang diamalkan oleh parti,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Semalam Dr. Mahathir berkata, Kerajaan tidak akan menghantar pulang pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik ke India selagi beliau tidak menimbulkan masalah.
Dr. Mahathir berkata, penceramah itu tidak akan dihantar pulang kerana sudah diberikan status penduduk tetap negara ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas desus penghantaran pulang Zakir ke negara asalnya.-UTUSAN ONLINE











