KLANG – Polis akan memanggil ibu bapa kepada dua beradik yang mendakwa melihat tindakan pengasuh yang menggoyang badan dan mengetuk kepala Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif sebelum mayat bayi itu ditemui di dalam peti ais di Kampung Nakhoda, Batu Cves di Selangor pada Selasa lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, kenyataan kedua-dua individu berusia 36 dan 40 tahun itu penting bagi menyiasat dakwaan anak mereka yang berusia lima tahun mengenai tindakan pengasuh ke atas Adam Rayqal yang ditemui meninggal dunia.
“Kita dengar pelbagai cerita tetapi semuanya belum dapat disahkan lagi. Sudah tentu, (mereka) akan dipanggil dan sesiapa yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada kita,” kata beliau ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di IPD Klang Utara di sini semalam.











