KAJANG – Seorang wanita Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan ke atas anaknya dan menyembunyikan kelahiran bayi tersebut.
Bagaimanapun, Sri Rahmadini, 22, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan bayi, Sri Rahmadini didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika disabit kesalahan.
Bagi pertuduhan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi yang masih hidup pula, wanita itu didakwa mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.











