Sekiranya anda mengalami penurunan berat badan secara tiba-tiba, demam, letih atau berpeluh pada waktu malam tanpa diketahui puncanya, jangan sesekali anda mengambil mudah.
Ini kerana ia merupakan antara simptom kanser limfoma, sejenis kanser berbahaya yang semakin kerap diperkatakan pada masa ini. Terbaharu, salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor meninggal dunia kerana penyakit ini.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong juga dilaporkan pernah didiagnos menghidap kanser ini.
Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan pada 2015 menyatakan kanser limfoma merupakan kanser keempat paling lazim di Malaysia. Mengikut jantina, dalam kalangan lelaki ia merupakan kanser keempat paling lazim manakala keenam bagi wanita di negara ini.
Portal Medical News Today melaporkan, kanser ini boleh berlaku pada mana-mana peringkat usia termasuk kanak-kanak dan awal dewasa.
Kanser limfoma merupakan sejenis kanser darah yang berlaku pada sistem limfatik melibatkan sel-sel darah limfosit di dalam nodus limfa yang biasa terdapat di leher, ketiak dan pangkal paha. Adakalanya ia juga boleh berlaku di limpa, tulang sum-sum dan organ-organ lain.
Gejala
Sistem limfatik ialah satu jaringan antara tisu dan organ yang membantu mengeluarkan sisa buangan dan toksin daripada tubuh manusia. Fungsi utama sistem limfatik ialah untuk mengalirkan cecair limfa yang mengandungi sel darah putih yang membantu diri melawan jangkitan.
Perunding Kanan Hematologi Universiti Malaya dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Gan Gin Gin menerangkan, selain simptom-simptom itu, tanda-tanda biasa penyakit ini juga apabila melihat suatu pembengkakan nodus limfa pada mana-mana bahagian tubuh.
“Biasanya ia di sekitar kawasan leher atau pangkal paha juga ketiak. Pembengkakan itu biasanya tidak sakit dan secara perlahan-lahan membesar.
“Jika anda melihat suatu bengkak yang tidak sakit dan tidak surut di kawasan tersebut lebih daripada dua minggu, anda perlu merujuk pakar kesihatan.
“Begitupun, ada juga kes pembengkakan nodus limfa terjadi tanpa disedari pesakit apabila tidak dapat dilihat atau dirasai kerana ia berlaku di dalam badan. Dalam kes ini, sekiranya ia terjadi berhampiran paru-paru, pesakit mungkin mengadu batuk berpanjangan tanpa kahak selain sukar bernafas,” katanya ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini.
Punca kanser ini terjadi tidak diketahui, tetapi seseorang yang mempunyai masalah lemah sistem imunisasi badan berisiko menghidapinya.
Kanser limfoma terbahagi kepada dua jenis iaitu limfoma Hodgkin dan limfoma bukan Hodgkin. Perbezaannya hanya melibatkan ciri-ciri patologi yang berlainan di bawah mikroskop, namun dari segi penampilan klinikal ia hampir sama.
Menurutnya, limfoma bukan Hodgkin lebih banyak dialami warga emas manakala limfoma Hodgkin lebih banyak dialami golongan muda. Namun limfoma bukan Hodgkin adalah lebih biasa berlaku. Rawatan yang diberikan berbeza mengikut jenis dan tahap kanser itu. Penentuan tahap pula dilakukan dengan imbasan CT atau PETCT seluruh badan, pemeriksaan tulang sumsum dan ujian darah. Dari segi rawatan pula secara umumnya ialah kemoterapi dan rawatan antibodi monoklonal.
“Penyakit ini mempunyai kebarangkalian untuk sembuh selepas diberikan rawatan terutamanya jika ia dikesan pada peringkat awal. Peluang untuk kesan kanser tidak lagi wujud pada diri pesakit adalah pada kadar 40 hingga 85 peratus bergantung kepada peringkat penyakit,” katanya.
Perunding Onkologi Klinikal Gleneagles Kota Kinabalu, Sabah, Dr. Jayendran Dharmaratnam menerangkan, terdapat empat tahap kanser ini dengan tahap pertama melibatkan kawasan nodus limfa manakala tahap kedua melebihi kawasan nodus limfa sehingga ke salah satu bahagian diafragma.
“Peringkat ketiga pula apabila ia telah merebak sehingga ke kedua-dua belah diafragma dan peringkat empat apabila ia telah merebak sehingga ke tulang sumsum, limpa dan lain-lain,”
Jayendran berkata, secara umumnya bilangan kes kanser ini di dunia semakin meningkat.
“Kebanyakan limfoma berpotensi untuk disembuhkan. Jika anda didiagnos dengan kanser limfoma, jangan panik, banyak pilihan ubat kini ditawarkan,” katanya.











