Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyaksikan sesi latihan pasukan Gergasi Merah di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi sebagai persiapan menjelang aksi final menentang Pahang di venue yang sama malam ini.
Tengku Amir merupakan Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selepas dilantik pada Kongres Luar Biasa FAS Selasa lalu bagi menggantikan Datuk Seri Subahan Kamal yang melepaskan jawatan tersebut untuk memberikan lebih tumpuan kepada Persekutuan Hoki Malaysia selaku presiden selain jawatan sebagai timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia.
Tengku Amir hadir di stadium pada pukul 8.03 malam sekali gus memberikan kata-kata semangat dan menyerahkan pakaian rasmi kepada barisan pemain skuad bimbingan Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir.
“Saya berharap pemain menunjukkan mentaliti untuk menang ketika berdepan pasukan Pahang.
“Malah, saya percaya dan yakin Selangor dapat memenangi Piala FA di pentas final kali ini,” kata Tengku Amir.
Beliau turut diiringi Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari ketika melakukan kunjungan tersebut di Bukit Jalil.
Kali terakhir Selangor menjulang piala tersebut pada 2009 ketika menundukkan Kelantan 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti setelah perlawanan terikat seri 1-1 selepas tamat masa tambahan 120 minit.











