KUALA LUMPUR 6 Julai – Kementerian Pertahanan akan menilai semula peruntukan kepada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dalam memastikan kebajikan institusi itu selain berupaya menawarkan latihan persediaan kepada pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menterinya, Mohamad Sabu berkata, pihaknya menyedari berlaku kekurangan dalam peruntukan kepada institusi berkenaan berikutan keadaan ekonomi yang kurang mengizinkan.
“Kita mengakui berlaku kekurangan peruntukan buat masa ini, namun saya akan cuba lihat dan mencari jalan selain melihat kemampuan kewangan negara dari semasa ke semasa.
“Saya akan perjuang peruntukan untuk Perhebat kerana ia memberi manfaat kepada tentera yang akan bersara nanti” katanya selepas menghadiri Konvokesyen Perhebat Ke-51 di Kem Sungai Buloh dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Pengerusi Perhebat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Abdul Aziz Ibrahim.
Dalam majlis itu, sebanyak 713 pesara ATM berjaya memperoleh Diploma Kemahiran Malaysia selepas mengikuti latihan peralihan Perhebat.
Sementara itu, Abdul Aziz menjelaskan, peruntukan yang berkurangan daripada RM32 juta kepada RM27 juta setahun sejak dua tahun lalu banyak membantutkan kelancaran operasi institusi berkenaan yang dijadikan sebagai pusat persediaan kepada pesara untuk melangkah sebagai orang awam.
“Kekurangan peruntukan itu turut menjejaskan kualiti latihan. Kalau dahulu pelatih boleh menyediakan lima biji kek sehari ketika menyertai kursus kulinari, namun dalam keadaan hari ini, peserta hanya boleh menyediakan dua biji kek sahaja,” katanya.











