MAE SAI 6 Julai – Seorang bekas penyelam tentera Thailand mati lemas selepas menghantar bantuan untuk menyelamatkan 12 remaja lelaki dan seorang jurulatih bola sepak yang terperangkap di dalam sebuah gua yang banjir di utara Thailand.
Pegawai (bersara) Tentera Laut Kelas Pertama, Saman Kunam, meninggal dunia dalam perjalanan keluar dari kompleks gua Tham Luang selepas menyelam untuk membekalkan tangki oksigen di sebuah lubang gua pada kira-kira pukul 2 pagi tadi.
“Berita ini cukup menyedihkan. Bekas anggota unit Tentera Laut Diraja Thailand (SEAL) yang membantu secara sukarela meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi tadi.
“Tugas beliau adalah untuk menghantar bantuan oksigen ke dalam gua. Malangnya beliau sendiri tidak mempunyai bekalan udara mencukupi untuk pulang,” kata Timbalan Gabenor Chiang Rai, Passakorn Boonyaluck kepada wartawan.
Saman dilaporkan ditemui tidak sedarkan diri dan rakan sepasukan berusaha membawanya ke kawasan pertolongan cemas tetapi beliau disahkan meninggal dunia selepas tiba di hospital.
Kematian penyelam itu menimbulkan keraguan terhadap usaha menyelamat dan membawa keluar mangsa yang terperangkap melalui laluan sempit di dalam gua Tham Luang yang dipenuhi air itu dengan cara sama digunakan penyelam tersebut.
Ketika ditanya bagaimana mangsa mampu keluar dengan selamat selepas penyelam berpengalaman turut lemas dalam usaha itu, Komander SEAL, Apakorn Yookongkaew berkata, mereka akan mengambil langkah yang lebih berhati-hati bagi melaksanakan misi berkenaan.
“Pada mulanya, kami fikir mereka boleh tinggal lama di dalam gua tersebut tetapi kini tanggapan itu sudah berubah, kami sebenarnya mempunyai masa yang terhad.
“Kami juga kehilangan seorang anggota penyelamat tetapi kami masih mempunyai keyakinan dan kepercayaan untuk melaksanakan misi sukar ini,” jelasnya.
Menurut Apakorn, jarak antara pusat kawalan kepada remaja berkenaan adalah kira-kira 1.7 kilometer dan penyelam perlu mengambil masa kira-kira 12 jam untuk masuk dan keluar dari gua tersebut.
Seluruh bahagian dalam gua berkenaan juga bukan sahaja ditenggelami air malah amat gelap dan dipenuhi dengan banyak retakan kecil di kedua belah dinding gua, menjadikan perjalanan semakin sukar.
Awal pagi ini ramalan hujan lebat tidak berlaku, memberikan sedikit kelegaan kepada pekerja penyelamat yang mengepam keluar air dari gua berkenaan, sambil merancang pelan menyelamat yang rumit itu.
Semua mangsa yang terperangkap telah menerima latihan asas bernafas dan menguruskan peralatan menyelam sekiranya perintah untuk keluar diberikan. – AFP/AGENSI
Tetapi pihak berkuasa enggan membenarkan mereka menyelam keluar dari gua, memandangkan risiko yang amat tinggi.
Pilihan lain sedang dipertimbangkan adalah menunggu musim hujan berhenti yang mungkin mengambil masa berbulan-bulan atau memanjat keluar melalui kesan retakan, jika menemuinya. – AFP/AGENSI











