Jualan Mercedes-Benz naik 15% di Malaysia - Utusan Malaysia

Jualan Mercedes-Benz naik 15% di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Julai – Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd. (MBM) akan menilai semula strategi perniagaan mereka sekiranya keada­an berubah dalam tempoh terdekat ini terutama keadaan ringgit terus menunjukkan kelemahan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Claus Weidner berkata, bagaimanapun, ketika ini keadaan tersebut tidak membimbangkan kerana lebih 70 peratus pengeluaran dibuat di kilangnya di Pekan, Pahang.

“Kami mempunyai strategi jangka panjang dalam pasaran dan begitu juga dari segi harga dengan kedua-duanya menunjukkan prestasi yang baik setakat ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun, jika keadaan berubah, barulah kami akan melihat dan menilai semula strategi ini,” katanya dalam sidang akhbar pres­tasi separuh pertama MBM di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Pre­siden Jualan dan Pemasaran MBM, Mark Raine; Naib Presiden Per­khidmatan Pelanggan MBM, Heinrich Schromm dan Pengarah Urusan MBM, Mike Ponnaz.

MBM mencatat prestasi kukuh pada separuh pertama 2018 de­ngan jualan sebanyak 6,790 buah, peningkatan lebih 15 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala penguasaan pasaran meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 2.5 peratus dalam tempoh berkenaan daripada separuh pertama 2017.

Tahun ini, kereta pemasangan tempatan yang dikeluarkan iaitu Mercedes-Benz C, E dan S-Class merekodkan jualan sebanyak 4,322 buah manakala varian kompak premium terdiri daripada Mercedes-Benz A-Class, B-Class, GLA-Class dan CLA-Class terjual sebanyak 996 buah.

Kedua-dua segmen tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 18 peratus dan 20 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) premium Mercedenz-Benz pula kekal memacu pertumbuhan dengan 1,291 buah yang terjual, mencerminkan peningkatan sebanyak empat peratus berban­ding suku pertama 2017.

Bagi koleksi Mercedes-Benz Dream Cars pula, merekodkan pencapaian yang baik dengan 181 buah kereta dijual, peningkatan satu peratus berbanding separuh pertama tahun lalu.

Pada separuh pertama tahun ini juga, rangkaian peniaga mencatat sebanyak 71,650 jumlah servis di 31 pusat servis, meningkat 16 peratus berbanding tahun sebelumnya.

MBM baru-baru ini menerbitkan bon korporat bernilai RM3 bilion di Malaysia dan menerima penarafan kredit AAA oleh RAM yang menyaksikan RM250 juta daripada program bon itu dilanggan oleh pelabur.

Ditanya mengenai kesan pelaksanaan kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST), Raine menjelaskan, pihaknya tetap optimis pada separuh kedua tahun ini terutama apabila cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikuatkuasakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN