KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam mengumumkan pertukaran 20 pegawai kanannya berkuat kuasa 6 Ogos ini.
PDRM dalam satu kenyataan berkata, pertukaran itu melibatkan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Asri Yusoff yang akan bertukar jawatan sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman.
Tempat Asri akan diisi Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya manakala Ketua Polis Melaka, Datuk Abd. Jalil Hassan pula akan bertukar jawatan sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
“Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Mohd. Roze Shaari akan bertukar jawatan sebagai Timbalan Pengarah Forensik/Databank/ DNA/ Perancangan Strategik di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Deputi Komisioner Polis, Raja Shahrom Raja Abdullah yang kini bertugas sebagai Timbalan Pengarah Forensik/Databank/ DNA/ Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman akan bertukar jawatan sebagai Ketua Polis Melaka,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Turut bertukar jawatan ialah Juruiring kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri yang akan bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang.
Pertukaran turut melibatkan Datuk Ramli Mohamed Yoosuf yang kini bertugas sebagai Setiausaha Polis Malaysia, Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara (KPN), Bukit Aman dan akan bertukar jawatan sebagai Ketua Urus Setia KPN, Urus Setia Pejabat KPN Bukit Aman. – K! ONLINE











