Ilham mahu ikut jejak Bambang, Elie - Utusan Malaysia

Ilham mahu ikut jejak Bambang, Elie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Julai – Pemain import dari Indonesia, Ilham Udin Armaiyn tekad untuk mengharungi musim pertama bersama Selangor dengan sekurang-kurangnya menjulang trofi Piala FA apabila menentang Pahang dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.

Kata Ilham lagi, dia mahu mengikuti jejak dua legenda Indonesia iaitu Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy yang menjadi import terakhir dari negara tersebut menjulang Piala FA bersama skuad Red Giants pada 2005.

Selangor turut memenangi Piala FA pada 2009, namun pada waktu itu semua pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) tidak dibenarkan menggunakan khidmat pemain import.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Persiapan kami untuk menghadapi final Piala FA berjalan seperti biasa, terutama daripada segi taktikal yang diterapkan jurulatih. Semua pemain bekerja keras untuk mendapatkan trofi.

“Mudah-mudahan kemenangan berpihak kepada kami. Seandainya diberikan peluang untuk beraksi dalam final sudah tentu saya mahu menyumbangkan sesuatu kepada pasukan dan berharap mereka (Bambang dan Elie) tidak menjadi pemain Indonesia terakhir memenangi Piala FA bersama Selangor.

“Ini aksi final pertama saya bersama Selangor dan tiada sebarang tekanan yang dihadapi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada final Piala FA 2005, Selangor muncul juara selepas menundukkan Perak 4-2. Bambang meledak dua gol manakala Elie satu gol. Gol satu lagi disumbangkan oleh Brian Fuentes.

Menyentuh mengenai kontraknya, pemain berusia 22 tahun itu memberi tempoh khidmatnya bersama Selangor bakal tamat pada Disember ini, namun Ilham tanpa berselindung memberitahu dia mahu kekal menyarung jersi Red Giants pada musim depan.

“Saya tahun ini tidak menjadi tahun terakhir saya bersama Selangor. Sekiranya khidmat saya masih diperlukan saya bersedia beraksi bersama Selangor,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN