KUALA LUMPUR 6 Julai – UMNO Bahagian Setiawangsa turut melancarkan Tabung Solidariti Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkatnya untuk turut sama meringankan beban membantu bekas Perdana Menteri itu yang kini sedang berhadapan dengan dakwaan berhubung pemindahan RM42 juta ke dalam akaun peribadinya daripada SRC International Sdn. Bhd.
Ketua Wanita UMNO bahagian, Seriwani Sabtu berkata, sememangnya menjadi tanggungjawab oleh setiap ahli UMNO untuk membantu sesama sendiri agar permuafakatan yang utuh dapat terus dipelihara untuk memastikan parti itu terus relevan.
Beliau berkata, usaha untuk mengumpul dana itu juga merupakan sebahagian daripada inisiatif mereka dalam menghargai jasa Perdana Menteri keenam itu memimpin negara dan UMNO khususnya.
“Hasil kutipan ini insyallah akan diserahkan kepada Najib pada pukul 3 petang Ahad ini.
“Dalam kesulitan yang kini sedang dihadapinya, ketahuilah bahawa beliau tidak keseorangan kerana semua ahli akan sentiasa berusaha untuk membantu walau dengan apa cara sekalipun,” katanya ketika ditemui Utusan Online di Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Setiawangsa di Hotel Flamingo, di sini hari ini.
Majlis telah disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa yang baharu, Datuk Seri Izudin Ishak yang mengisi kekosongan ditinggalkan penyandang sebelumnya, Tan Sri Zulhasnan Rafique. – UTUSAN ONLINE











