3,390 beg baja padi bernilai RM180,534.60 dirampas - Utusan Malaysia

3,390 beg baja padi bernilai RM180,534.60 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Julai – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani merampas 3,390 beg baja bernilai RM180,534.60 kerana didapati tidak mempunyai lesen sah menyimpan baja terbabit di sebuah kilang beras di Kampung Kebun Sayur Bakri, Muar, Johor hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu di sini, serbuan dibuat pukul 9.15 pagi turut mendapat kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Tambah kenyataan itu, pihak Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) melakukan pengecaman dan mengesahkan baja sebatian terbabit adalah di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dengan harga antara RM39.50 sehingga RM60 seguni.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehubungan itu anak pemilik kilang terbabit ditahan kerana cuba memberi rasuah sebanyak RM5,000 manakala empat pekerjanya hanya diambil keterangan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kementerian itu berkata, pihak penguatkuasaan telah menjalankan intipan kegiatan tersebut selama empat bulan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi memastikan mereka yang terlibat dalam kegiatan penjualan baja dari peruntukan kerajaan di pasaran gelap,” ujarnya.

Katanya, baja berkenaan dibiayai oleh peruntukan kerajaan Persekutuan dan dikhaskan untuk kegunaan pesawah padi di seluruh negara.

Menurut kenyataan itu, barang rampasan tersebut akan dipindahkan ke suatu lokasi simpanan yang dikawal oleh pihak keselamatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN