Tengku Amir suntik semangat Red Giants - Utusan Malaysia

Tengku Amir suntik semangat Red Giants

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Julai – Skuad Red Giants menerima suntikan semangat menjelang final Piala FA esok apabila menerima kunjungan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam sesi latihan terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Tengku Amir yang juga Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) ditemani Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari hadir menyampaikan sut dan memberi kata-kata semangat kepada skuad bimbingan Nazliazmi Nasir yang akan menentang Pahang.

“Saya berharap pemain menunjukkan semangat dan mentaliti juara dalam pertembungan final menentang Pahang esok. Saya percaya dan yakin pemain Selangor dapat memenangi Piala FA esok.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi merealisasikannya setiap pemain perlu memasang impian untuk menjulang trofi kemenangan. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Selangor,” kata Tengku Amir.

Tengku Amir dipilih sebagai Presiden FAS yang baharu selepas memperoleh 81 pencalonan daripada ahli gabungan sekali gus menang tanpa bertanding menggantikan Datuk Seri Subahan Kamal dalam Kongres Luar Biasa FAS pada Selasa lalu.

Selangor mara ke pentas final Piala FA selepas Red Giants melakar kemenangan agregat 5-1 ke atas PKNS FC dalam aksi separuh akhir kejohanan.

Kali terakhir Selangor memenangi Piala FA pada 2009 selepas menewaskan Kelantan 4-1 menerusi penentuan penalti berikutan kedua-dua pasukan terikat 1-1. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN