TAMPIN – Seorang lelaki menemui ajal selepas motosikal dinaikinya berlanggar dengan sebuah lori di kilometer 2, Jalan Pasir Besar Palong 1, berhampiran Pekan Pasir Besar, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd. Shukri Mohd. Noor, 43, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada kepala dan dada sementara pemandu lori tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Ramli Kasa berkata, nahas membabitkan motosikal jenis Modenas Kriss dan lori jenis Hino.
Menurutnya, penunggang motosikal terbabit dalam perjalanan dari arah Pekan Pasir Besar menuju ke Palong 1, manakala lori dipandu lelaki berusia 30-an datang dari arah bertentangan.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu masuk ke laluan bertentangan dan pada masa sama datang sebuah lori dari arah bertentangan.
“Pemandu lori berkenaan cuba mengelak ke kiri jalan namun, penunggang motosikal telah merempuh bahagian besi sebelah kanan lori berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk dibedah siasat esok.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











