LUMUT 6 Julai – Polis menahan dua warga asing dan merampas tujuh buah motosikal dalam Ops Lejang di sebuah ladang kelapa sawit Ladang di Kampung Sungai Batu, Pantai Remis di sini kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superitenden Chong Boo Khim berkata, operasi pada pukul 11 malam hingga 2.30 pagi itu dijalankan berikutan aduan orang awam.
Menurutnya, dalam operasi itu polis melakukan pemeriksaan sebanyak 82 buah motosikal.
“Hasil pemeriksaan, polis menahan dua lelaki yang berusia 23 dan 22 tahun yang menunggang motosikal curi jenis Honda Ex5 dan C70.
“Polis turut merampas lima buah lagi motosikal curi jenis Honda Ex5,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Manjung di sini hari ini.
Boo Khim berkata, hasil pemeriksaan mendapati warga asing tersebut tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan akan dirujuk pada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil kerana gagal memberi keterangan memiliki motosikal tersebut.
Menurutnya, motosikal curi itu dijual dengan harga murah antara RM200 hingga RM500 dan digunakan untuk bekerja di ladang sawit tersebut.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli motosikal yang diragui dari segi harganya yang tidak munasabah,” katanya.
Sementara itu, polis berjaya menahan dua suspek termasuk seorang wanita di hadapan sebuah hotel di Taman Sejati, Sitiawan di sini dipercayai terlibat dalam kes curi motorsikal semalam.
Menurut Boo Khim, tangkapan dilakukan pada pukul 10 malam ketika kedua-dua suspek yang berumur 23 dan 36 tahun baru sahaja mahu menunggang motosikal jenis Honda EX-5.
“Hasil siasatan, polis berjaya merampas sebuah lagi motorsikal curi jenis Yamaha LC yang diletakkan di tempat letak motosikal berdekatan,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil. – UTUSAN ONLINE











