KUALA LUMPUR 6 Julai – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kecewa dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dianggap tidak efektif dalam usaha penguatkuasaan usia minimum untuk perkahwinan pada umur 18 tahun.
Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail dalam kenyataan berkata, pihaknya membantah cadangan kerajaan untuk membangunkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengenakan garis panduan yang lebih ketat untuk menyeragamkan proses saringan bagi perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak bawah umur.
“Ini adalah kerana SOP tersebut tidak mengutamakan kepentingan kanak-kanak tetapi sebaliknya akan mengekalkan perkahwinan kanak-kanak di negara ini yang bilangannya amat mengejutkan.
“Suhakam menyeru agar kementerian lebih teguh melindungi hak kanak-kanak dan konsisten dengan pendirian kerajaan seperti mana manifestonya untuk memperkenalkan undang-undang yang menetapkan 18 tahun sebagai umur minimum perkahwinan dalam Komitmen 4 ‘Komitmen Khusus untuk Wanita’ di halaman 40,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











