KLANG – Seorang penjenayah dipercayai terlibat dalam kes samun berjaya ditahan setelah kenderaan dinaiki terbabas ke dalam parit di Jalan Besar Parit Dua, Kuala Selangor di sini selepas dikejar sejauh 60 kilometer tengah malam semalam.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu, suspek berusia 34 tahun yang menaiki kereta jenis Proton Saga mula dikejar polis dari Sungai Kapar dekat sini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, tangkapan itu hasil rondaan dilakukan kereta Peronda Polis (MPV) yang mengesan kereta terbabit dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, suspek kemudiannya bertindak memecut kereta tersebut menghala ke Kuala Selangor ketika cuba ditahan oleh polis.
“Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit hasil bantuan empat buah MPV polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor.
“Hasil pemeriksaan, suspek gagal menunjukkan kad pengenalan dan menemui sebilah parang berhulu plastik hitam panjang dan sebuah topi keledar warna biru jenama dipercayai digunakan untuk menyamun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas beliau, semakan turut mendapati suspek menggunakan kenderaan curi selain mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan curi kenderaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











