YAN – Satu mayat lelaki dipercayai lemas ditemui dalam keadaan berbogel di lokasi air terjun Puteri Mandi, Gunung Jerai di sini hari ini.
Mayat terbabit ditemui sekumpulan pengunjung di kawasan tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi sebelum penemuannya dilaporkan kepada polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Yan di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Shuib berkata, seramai 31 anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) kemudian bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan.
“Pasukan menyelamat berkenaan terpaksa mengambil masa kira-kira tiga jam mendaki Gunung Jerai untuk sampai ke lokasi sebelum kerja-kerja mengangkat mayat dilakukan,” katanya ketika ditemui di sini petang ini.
Mohd. Fauzi berkata, mayat terbabit dijangka dapat dibawa turun dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan di sini kira-kira pukul 7 malam ini kerana laluan agak curam.
“Punca kematian hanya akan diketahui selepas bedah siasat terhadap mayat berkenaan,” katanya. – K! ONLINE











