DUNGUN – Seorang warga emas terkejut selepas menemui mayat seorang lelaki yang masih tidak dikenali identitinya di belakang sebuah rumah usang di Jalan Teratai, Kampung Alur Tembesu di sini hari ini.
Mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan tertiarap di atas tanah kira-kira pukul 10.30 pagi oleh Sulong Abas, 72, yang tinggal berhampiran lokasi kejadian.
Warga emas itu berkata, dia sangat terkejut dengan penemuan mayat itu dan terus memaklumkan kejadian kepada anak lelakinya.
“Ketika nampak mayat tersebut, saya berseorangan di dalam rumah kerana dua anak perempuan keluar ke pasar.
“Saya kemudiannya memanggil anak lelaki yang tinggal berhampiran untuk memaklumkan kejadian kepadanya sebelum dia menghubungi Hospital Dungun,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sepasukan anggota forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen negeri sedang menjalankan siasatan mengenai penemuan mayat itu.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun bagi proses bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. – K! ONLINE











