SEREMBAN 6 Julai – Menteri Besar, Aminuddin Harun hari ini mengetuai senarai empat orang penerima anugerah pangkat kehormat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam satu majlis khas di sini.
Beliau menerima anugerah Timbalan Kanan Pesuruhjaya Bomba daripada Ketua Pengarah JPBM, Mohamad Hamdan Wahid.
Sementara itu, tiga orang menerima pangkat Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba iaitu Speaker Dewan Undangan Negeri, Zulkefly Mohamad Omar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr. Razali Ab. Malek dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong.
Mohamad Hamdan berkata, penganugerahan pangkat tersebut diberikan kepada pemimpin kerajaan negeri bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka kepada JPBM khususnya yang berkait dengan aspek kebombaan dan keselamatan kebakaran.
“Kerajaan negeri juga banyak membantu dan memberi kerjasama kepada JPBM dalam perolehan tapak bagi pembinaan prasarana berkaitan seperti balai bomba.
“Para pemimpin ini juga adalah ikon masyarakat yang memainkan peranan meningkatkan kesedaran awam terhadap keselamatan orang ramai daripada bencana alam dan kebakaran,” ujarnya.
Sehingga kini, menurutnya, pihaknya telah mengenal pasti kira-kira 50 individu yang akan menerima anugerah tersebut di peringkat negeri mahu pun Persekutuan. – UTUSAN ONLINE











