PUTRAJAYA 6 Julai – Kerajaan tidak akan menghantar pulang pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik selagi beliau tidak menimbulkan masalah.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penceramah itu tidak akan dihantar pulang kerana sudah diberikan status penduduk tetap negara ini.
“Selagi beliau (Zakir) tidak membuat sebarang masalah, kita tidak akan menghantar pulang ke negara asalnya kerana beliau sudah mendapat taraf penduduk tetap,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas desus penghantaran pulang Zakir ke negara asalnya.
Sementara itu berhubung maklumat Low Taek Jho atau Jho Low melarikan diri ke Macau, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak mengikuti perjalanan ahli perniagaan itu.- UTUSAN ONLINE











