PUTRAJAYA – Teka-teki mengenai lokasi persembunyian ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho akhirnya terjawab apabila polis mengesahkan hartawan kontroversi itu disahkan melarikan diri ke Macau.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, maklumat berkenaan lokasi ahli perniagaan yang lebih dikenali sebagai Jho Low itu diperoleh menerusi sepasukan pegawai polis yang dihantar menjejakinya di Hong Kong
“Maklumat terbaharu yang pihak polis terima dia (Jho Low) berada di Macau. Kita telah menghantar pasukan ke Hong Kong tetapi apabila sampai di sana Jho Low (lari) ke Macau,” katanya.
Jarak antara Malaysia dengan Macau ialah sekitar 2,350 kilometer.
Mohamad Fuzi berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Kementerian Dalam Negeri yang dihadiri Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bangunan kementerian berkenaan di sini semalam.











