KUALA TERENGGANU – Mohd. Sufi Naeif Mohd. Fauzi merayu orang ramai khususnya netizen agar berhenti berkongsi gambar-gambar memaparkan kematian tragis anak tunggalnya, Adam Rayqal di media sosial.
Mohd. Sufi Naeif, 28, berkata, penyebaran gambar-gambar yang tidak sepatutnya itu amat menyayat hati dan menyinggung perasaan ahli keluarganya.
“Kalau ada yang share (kongsi) gambar-gambar Adam Rayqal yang tidak sepatutnya, minta tolong hormatilah privasi Allahyarham dan keluarga kami,” katanya ketika ditemui bersama isterinya, Farrah Madihah Othman, 28, selepas upacara pengebumian Adam Rayqal di Tanah Perkuburan Islam Ladang Tok Pelam di sini kelmarin.
Semalam Kosmo! melaporkan, bayi berusia lima bulan tersebut yang didakwa dilarikan individu tidak dikenali ditemui mati di dalam peti sejuk di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor, Selasa lalu.











