KUALA LUMPUR 5 Julai – Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd. Shahar Abdullah menganggap pelantikannya sebagai Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO yang baharu sebagai satu manifestasi yang membawa mesej bahawa parti keramat itu sedang melakukan pembaharuan di peringkat dalaman.
Beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, perkara itu adalah perlu demi merealisasikan kehendak rakyat yang ingin melihat UMNO berubah dengan arah tuju yang lebih dinamik.
Ujarnya lagi, walaupun tewas kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam pemilihan sayap baru-baru ini, beliau tidak pernah menyimpan perasan marah atau kecewa sebaliknya ingin mengucapkan terima kasih kepada kepemimpinan parti, khususnya kepada Asyraf Wajdi.
“Dengan rasa insaf dan rendah diri saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kepemimpinan UMNO, khususnya Ketua Pemuda UMNO atas kepercayaan untuk melantik saya memikul tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO yang baharu.
“Tidak pernah saya menyimpan walau sekelumit perasaan amarah atau kecewa terhadap parti kerana sesungguhnya sifat kekeluargaan yang menebal dalam UMNO melebihi segala kedudukan dan jawatan yang dipertandingkan,” katanya.
Beliau menambah, amanah yang dipertanggungjawabkan itu akan digalas sebaiknya bagi memperkasakan sayap tersebut dalam usaha menjadi tulang belakang utama parti. – UTUSAN ONLINE











