BALIK PULAU – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau di sini sebentar tadi atas kesalahan mendatangkan kecederaan terhadap dua warga emas minggu lalu.
Tertuduh, Loh Seong Keat, 43, bagaimanapun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.
Mengikut pertuduhan, Seong Keat didakwa telah memberikan lima biji pil mengandungi Benzodiazepine setiap seorang terhadap dua warga emas sebelum mengambil wang dari dalam dompet mangsa di Tokong Cina Tie Ya, Titi Serong kira-kira pukul 3 petang, 26 Jun 2018.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit bersalah.
Majistret Azzuin kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama empat bulan dari tarikh tangkapan bermula 30 Jun lalu manakala tambahan penjara dua bulan lagi jika dia gagal membayar denda RM2,000.
Tertuduh bagaimana gagal membayar denda tersebut sehingga tengah hari tadi. K! ONLINE











