Sultan Nazrin rasmi SMK Bawong - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin rasmi SMK Bawong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT 5 Julai – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong di Sungai Siput Utara yang merupakan satu-satunya sekolah menengah harian pertama di negara ini, dibina dengan kemudahan asrama lelaki dan perempuan demi kemajuan pendidikan masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman.

Mula beroperasi pada 19 September 2016, sekolah yang dibina dengan kos bernilai RM26.3 juta itu kini mempunyai sebanyak 37 guru serta 375 pelajar tingkatan satu hingga tiga termasuk Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Pembinaannya yang bermula pada 25 November 2013 adalah hasil kerjasama pelbagai pihak khususnya Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kerja Raya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kini, sekolah berkenaan dilengkapi dengan 20 bilik darjah serta pelbagai kemudahan lain seperti makmal sains, makmal komputer, makmal bahasa, bengkel-bengkel dan capaian internet berkelajuan tinggi.

Keberangkatan Sultan Nazrin bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim diiringi oleh Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim.

Hadir sama Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Ghazali Jalal dan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin berkenan menzahirkan lafaz perasmian serta menandatangani plak sebagai gimik perasmian sebelum melawat sekolah berkenaan.

Maszlee ketika berucap pada majlis tersebut berkata, dengan terbinanya SMK Bawong, ia pastinya dapat meningkatkan kemajuan pendidikan seterusnya menjadi pemangkin dalam merancakkan pembangunan luar bandar sekali gus memberikan kesan langsung terhadap peningkatan kualiti hidup di sini.

“Sehubungan itu, kerjasama warga pendidik di sini amat penting dalam melahirkan insan cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga terbilang dari segi sahsiah dan peribadi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN