Henti untuk keselamatan - Utusan Malaysia

Henti untuk keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG 4 JULAI – Kira-kira 1,000 penduduk di Taman Damai Indah dan Taman Permai dekat sini membantah projek pemasangan saluran paip yang dikhuatiri mengancam keselamatan mereka di kawasan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penduduk taman berkenaan, Bashir Maktar berkata, mereka mengambil langkah awal dengan membuat bantahan supaya pihak pemaju lebih peka dengan aspek keselamatan penduduk di sini.

Menurutnya, sekiranya projek itu diteruskan pelbagai masalah timbul termasuk menyebabkan halangan keluar masuk di kawasan perumahan dan kemungkinan berlakunya tanah runtuh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada Oktober tahun lepas satu perjumpaan diatur melibatkan penduduk, wakil rakyat dan Majlis Perbandaran Kajang, (MPKj) namun tiada sebarang kata putus diambil.

“Wakil MPKj tidak hadir ketika itu dan keputusan tidak dapat dibuat. Kami tidak diberitahu apa-apa tentang status projek selepas itu sehinggalah baru-baru ini beberapa kontraktor dilihat berada di tapak projek,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Yang turut hadir Pegawai Khas Ahli Parlimen Bangi, Khoo Khim Han.

Terdahulu, penduduk me­ngadakan perjumpaan dengan Khoo Khim, wakil kontraktor dan MPKj bagi membincangkan isu tersebut.

Tambah Bashir, sehubungan itu penduduk menggesa MPKj dan kontraktor mengkaji semula kewajaran projek itu diteruskan dan mencari lokasi sesuai.

Sementara itu, Khoo Kim berkata, projek pemasangan saluran paip itu telah bermula sejak November tahun lalu.

Antara kawasan terlibat termasuk pekan Kajang, Taman Bukit Mewah, Taman Zamrud dan Taman Damai Indah.

“Projek ini hampir siap dan Taman Damai Indah merupakan lokasi akhir.

“Minggu lepas penduduk hadir ke pejabat ahli Parlimen dan hari ini kami turun padang ke lokasi.

“Pihak MPKj bersetuju untuk menangguhkan projek ini sehingga satu keputusan kajian projek dan cadangan baharu dibuat kelak,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di perumahan berkenaan mendapati, projek itu hanya terletak kurang 100 meter dari rumah penduduk.

Kon keselamatan dan penyediaan garisan merah sepanjang jalan di kawasan perumahan itu sebagai tanda kerja-kerja akan dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN