Adunan elemen artistik dalam Grisse - Utusan Malaysia

Adunan elemen artistik dalam Grisse

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAIK kaki melangkah masuk ke lokasi penggambaran drama bersiri Grisse di Studio Infinite yang terletak di Batam, Indonesia baru-baru ini, bau tengik ikan kering terus menerpa masuk ke dalam rongga hidung.

Sesekali, lalat dan langau dilihat terbang melintas ruang udara studio, menandakan serangga kecil berwarna hitam itu ‘suka’ dengan kehadiran aroma berkenaan.

Begitulah suasana yang dapat disaksikan sepanjang sesi lawatan belakang tabir bagi penggambaran drama lapan episod yang bakal ditayangkan di saluran HBO sekitar penghujung tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain barang-barang basah dan kering yang menggambarkan situasi di sebuah kedai runcit, beberapa jajaran bangunan turut dibangunkan di kawasan lapang studio tersebut bagi membentuk sebuah pekan koboi kecil bernama Grisse.

Biarpun kelihatan realistik dan hidup, namun, produksi bersaiz mega itu sebenarnya agak sukar untuk dikelolakan. Ia diakui sendiri oleh pengarah drama berkenaan, Mike Wiluan yang sebelum ini pernah mengisi kerusi sutradara bagi siri original HBO Asia iaitu Dead Mine dan Serangoon Road.

Menurut Mike, musuh utamanya ketika menjalani penggambaran ialah perubahan cuaca yang tidak menentu.

Produksi

“Cuaca yang tidak menentu menyebabkan kami mengalami kesukaran untuk menjalankan penggambaran.

“Hal ini kerana, props yang digunakan dalam produksi ini adalah barangan sebenar. Jika ia terkena air hujan, kami terpaksa menunggu props tersebut kering sebelum memulakan kembali penggambaran,” katanya sambil merujuk kepada pasir yang dijadikan sebagai alas utama bagi permukaan jalan di studio berkenaan.

Melanjutkan bicara, Mike menegaskan bahawa kesinambungan antara babak merupakan perkara yang sangat dititik-beratkan.

“Walaupun naskhah ini merupakan sebuah siri lapan episod, namun, kesinambungan bagi setiap babak mahupun watak sangat diambil kira.

“Tambahan pula, drama ini melibatkan ramai pelakon dan juga aksi-aksi lasak,” ujar Mike.

Ditanya mengenai latar belakang drama arahannya itu, Mike berkata, Grisse berkisar tentang sejarah lampau pekan Gresik di Jawa Timur ketika zaman penjajahan Belanda sekitar tahun 1830-an.

“Kisah yang saya cuba bentangkan adalah tentang nasib wanita pada waktu itu yang tidak dianggap penting dan sering dipandang rendah oleh masyarakat.

“Sehingga pada satu saat, golongan wanita ‘diselamatkan’ oleh seseorang dan ia sekali gus membawa perubahan drastik terhadap budaya memperlekehkan jantina pada waktu itu,” katanya lagi.

Di atas kertas, plot drama Grisse secara kasarnya menggambarkan tentang pemberontakan masyarakat setempat yang cuba melepaskan diri daripada kezaliman penjajah.

Menerusi drama tersebut, barisan pelakon-pelakon hebat dari Singapura, Malaysia, Indonesia, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) telah direkrut oleh Mike bagi menjelmakan satu kelompok minoriti dalam pekan berkenaan.

Antara pelakon yang terlibat dalam menjayakan Grisse termasuklah Marthino Lio dan Ully Triani dari Indonesia, Joanne Kam (Malaysia) dan Hossan Leong (Singapura).

Belajar

Bagi Marthino Lio yang pernah popular menerusi filem Sayang You Can Dance sekitar sembilan tahun lalu, menyandang predikat sebagai pemain utama dalam Grisse bukanlah satu hal yang mudah.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Ratusan Purnama bersama Melly Goeslaw itu bersyukur kerana kru produksi yang terlibat begitu profesional manakala gaya pengarahan Mike pula disifatkan bertaraf antarabangsa.

“Sejujurnya, saya tidak mengalami sebarang masalah sepanjang berada di lokasi. Biarpun dikerah untuk menjayakan aksi pergaduhan yang ekstrem, namun, ia disempurnakan dengan baik dengan bantuan pengarah.

“Hubungan dengan pelakon lain juga baik. Kami dapat bertukar-tukar idea dan sekali gus belajar tentang budaya dan cara hidup individu dari negara asal masing-masing,” katanya.

Memegang watak Meran, seorang nasionalis yang begitu teguh memperjuangkan nasib-nasib golongan tertindas, Marthino berharap agar Grisse mampu memberi impak yang positif terhadap penonton kelak.

“Banyak pengajaran yang dapat dikutip daripada naskhah ini.

“Sebagai contoh, kita perlu belajar untuk maju ke hadapan dan tidak mengulang kesalahan yang pernah dilakukan pada masa lampau,” katanya lagi.

Sementara itu, bagi Ully Triani, peluang melakonkan watak Lena merupakan satu pencapaian paling manis sepanjang bergelar anak wayang.

Menurut Ully, biarpun Grisse merupakan sebuah naskhah drama yang kompleks, tetapi, ia tetap menjadi pengalaman yang mengujakan buatnya.

“Tidak ramai pelakon berpeluang menjayakan drama seperti ini. Lagi pun, ia merupakan naskhah bahasa Inggeris pertama yang saya jayakan. Sudah tentu saya berasa teruja untuk melihat hasilnya kelak,” ujar pelakon Stay With Me itu sambil tersenyum.

Mengakui kurang cekap bertutur dalam bahasa Inggeris di hadapan kamera, Ully bagaimanapun melahirkan rasa bersyukur kerana Mike sudi untuk memberikan tunjuk ajar kepadanya setiap kali sebelum memulakan penggambaran.

“Nasib baik Mike mahu meluangkan masa selama sejam setiap kali sebelum saya memulakan penggambaran.

“Jadi, saya tidak kekok sangat ketika bertutur dalam bahasa Inggeris di hadapan kamera,” katanya yang begitu mengagumi loghat bahasa Inggeris pelakon-pelakon lain.

Transisi

Jika Marthino dan Ully banyak mempelajari perkara baharu menerusi watak masing-masing, pelakon komedi Joanne Kam dan Hossan Leong pula menjadikan asas komedi yang ada pada mereka sebagai penambah perisa ketika di set penggambaran.

Joanne yang pernah mencipta nama menerusi sitkom Kopitiam berkata, biarpun Grisse merupakan sebuah drama bersiri dengan tema berat, dia masih boleh menggunakan kemahirannya dalam bidang komedi bagi mengembangkan watak yang dijayakannya.

“Pada mulanya, saya berasa sedikit janggal melakonkan watak bagi sebuah drama berat. Maklumlah, sebelum ini, saya hanya beraksi di atas pentas dan berlawak.

“Tetapi, saya tidak jadikan perkara tersebut sebagai satu beban. Sebagai pelakon komedi, saya boleh mengenal pasti dialog yang mungkin boleh dilucukan dan dapat memberi sedikit rasa berbeza kepada penonton. Namun, ia masih berjalan mengikut kata pengarah tanpa terkeluar daripada landasan yang diinginkannya,” ujar Joanne yang membawakan watak pemilik rumah pelacuran bernama Chi.

Bersetuju dengan Joanne, Hossan yang menyandang watak sebagai Zengwei pula meletakkan asas komedinya sebagai petunjuk untuk melakonkan watak sedih dan serius.

“Biarpun sudah terlalu lama dikelaskan sebagai aktor komedi, saya masih mampu untuk menggali sisi ‘drama’ yang mungkin sudah tiada dalam diri saya.

“Disebabkan hal itu, saya berasa sangat berterima kasih kepada HBO Asia yang memberikan peluang untuk saya mencuba watak seperti ini. Ia merupakan satu proses yang sangat memberi impak terhadap saya,” katanya.

Ditanya apakah cabaran yang dilalui sebagai pelakon komedi sepanjang menjalani penggambaran, Hossan berkata: “Pengarah terpaksa meminta saya supaya tidak berlebih-lebihan.

“Mungkin sebelum ini saya sudah terbiasa melantunkan suara dengan kuat, jadi, tabiat itu terbawa-bawa sehingga di depan kamera.”

Selain Marthino, Ully, Joanne dan Hossan, Grisse turut dibintangi oleh Adinia Wirasati, Michael Wahr, Edward Akbar, Jamie Aditya, Toshiji Takeshima, Zack Lee, Tom Dejong, Rick Paul Van Mulligen, Alexandra Gottardo dan Jimmy T.

Siri original HBO Asia, Grisse mengangkat nilai artistik dalam menghidupkan kisah inspirasi penaklukan Belanda di bumi Jawa suatu ketika dahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN