Cukuplah! Pastikan Adam Rayqal kes terakhir - Utusan Malaysia

Cukuplah! Pastikan Adam Rayqal kes terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Betapa hiba dan sedih pun kita membaca dan mengikuti kisah kematian bayi lelaki berusia lima bulan di Kampung Nakhoda, Batu Caves di Selangor, semalam, tentu sahaja tidak sama langsung dengan kepedihan dan kepiluan yang dirasai oleh kedua-dua ibu bapa Adam Rayqal.

Namun sebagai manusia waras dan masih kuat rasa empati dan simpati, kita tumpang bersedih atas tragedi yang menimpa pasangan muda ini.

Sebagai manusia juga kita tidak terlepas daripada perasaan geram dan marah mengenangkan tindakan pengasuh bayi itu cuba ‘menyembunyikan’ hakikat sebenar yang telah berlaku terhadap bayi malang itu dengan ‘mengelirukan’ ibu bapanya termasuk jiran, polis dan masyarakat awam yang prihatin atas ‘kehilangan’ Adam Rayqal semalam. Lebih tidak dapat diterima dek akal kita yang waras apabila mengetahui tempat penemuan mayat bayi malang itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Apa cerita sebenar, modus operandi dan punca kematian belum lagi didedahkan. Rasanya tidak perlulah kita menilai dan mentafsir sekadar menggunakan logik akal. Kita tunggu sahaja laporan bedah siasat dan serahkan kepada yang pakar untuk terus menyiasat dan melakukan pendakwaan.

Yang pasti, siapa jua yang bersalah tidak akan terlepas daripada pengadilan dan akan mendapat balasan hukuman.

Sementara itu, apa yang boleh kita lakukan sebagai masyarakat yang prihatin ialah melihat kes ini secara menyeluruh dan berhemah, bukannya menuding jari mencari mangsa untuk dipersalahkan. Lebih-lebih lagi bukan dengan ‘tumpang semangkuk’ menularkan perkara-perkara tidak betul dan belum sahih berhubung kematian bayi comel ini. Cubalah menghormati perasaan ibu bapa dan keluarga mangsa.  Pada masa sama, cuba juga memahami gelodak jiwa waris suspek yang pastinya tergamam dengan berita mengejutkan ini. 

Seperkara yang sepatutnya membangkitkan kesedaran kita dalam kes kematian Adam Rayqal ini ialah tentang masalah dihadapi oleh rata-rata ibu bapa bekerja yang mempunyai anak kecil, terutama yang tinggal di ibukota.  Ke mana hendak dihantar anak terutama yang masih bayi untuk dijaga? Selamatkah mereka dalam jagaan pengasuh?  Persoalan berbau curiga dan risau sebegini terpaksa diketepikan mereka kerana kebanyakannya tidak ada pilihan.

Kes-kes kematian bayi di rumah pengasuh sudah jeran didengar dan dibaca dalam media dari semasa ke semasa. Tersedak susu, terjatuh dari buaian, tersembam dalam baldi antara insiden kecuaian yang lali di telinga kita. Di samping itu, kes-kes didera oleh pengasuh atau orang yang dipertanggungjawabkan menjaga bayi atau kanak-kanak juga biasa dipaparkan.

Sungguhpun banyak ibu bapa dengan anak kecil yang trauma membaca kisah-kisah sedemikian, lambat-laun tuntutan kehidupan membuatkan ramai yang terlupa atau terpaksa buat-buat lupa, akhirnya menyerahkan jua anak dengan hati berat kepada pengasuh untuk dijaga.

Harapannya tentulah agar cahayamata kita itu dijaga dengan penuh kasih sayang sebagaimana kita ibu bapa menatangnya umpama minyak yang penuh. Namun bukan semua ibu bapa yang bernasib baik mendapat pengasuh yang boleh dipercayai dan diharapkan. Kerap kali di hadapan kita umpama malaikat, tetapi di belakang semacam tidak masuk dek akal apa yang diperbuat.

Akhir-akhir ini dengan mudah dapat kita melihat video tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau daripada telefon pintar tentang perilaku tidak berperikemanusiaan pengasuh melayan kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Disepak terajang, dicubit, ditempeleng malah ada yang dipijak oleh pelaku tanpa nampak riak wajah bersalah. Selepas ditularkan, adalah kita mendengar atau membaca berita yang pelaku terbabit ditahan polis, didakwa dan dijatuhkan hukuman.

Isu ini akan kecoh sekejap. Namun apa selepas itu? Esok-esok timbul pula kes lain, yang hampir sama, seolah-olahnya tidak ada iktibar langsung yang diperoleh daripada kes-kes sebelumnya.

Bagi ibu bapa bekerja terutama dalam golongan B40 dan M40, mereka tidak ada pilihan. Mau tidak mau mereka kena bekerja mencari nafkah dan anak-anak terpaksa juga ditinggalkan di tangan pengasuh. Mereka yang berwang sedikit mungkin boleh mengambil orang gaji atau amah namun inipun bukan jaminan bahawa anak yang ditinggalkan di rumah, yang bukan di depan mata kita itu akan selamat.

Kalaulah semua majikan dan tempat kerja di negara kita menyediakan premis khas atau tepatnya nurseri khusus untuk kakitangan, sudah tentu masalah mencari pengasuh tidak lagi menjadi isu yang menyerabutkan kepala. Seingat penulis, idea penubuhan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja khususnya premis kerajaan sudah lama diketengahkan malah jika tidak salah hampir diwajibkan ke atas majikan, setidak-tidaknya agensi kerajaan, tetapi entah di mana silapnya, cadangan hanya tinggal cadangan.

Justeru dengan kes terbaru yang meragut nyawa Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif ini diharapkan pihak berkuasa terlibat dapat mengambil tindakan proaktif bagi memastikan kejadian sama tidak lagi berulang. Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga yang kini diterajui oleh menterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail yang bertaraf Timbalan Perdana Menteri mungkin boleh menggunakan kuasa dan pengaruh yang ada untuk merealisasikan cadangan mewajibkan majikan menyediakan premis pusat jagaan anak kakitangan di tempat kerja, yang gagal dilaksanakan selama ini, sebagai kenyataan.

Sementara menunggu cadangan itu diterjemahkan menjadi realiti, pelan jangka pendek boleh dilaksanakan untuk meningkatkan jaringan sosial masyarakat Malaysia yang prihatin dengan mewujudkan talian hotline 24 jam khusus bagi menjawab panggilan kecemasan berhubung masalah bayi atau kanak-kanak dalam jagaan.  

Dengan adanya talian hotline itu, tidak kiralah sama ada kanak-kanak atau bayi tersedak susu, tercekik coklat, terjatuh dari buaian atau mengalami apa jua kemalangan mahupun insiden mencemaskan, penjaganya akan mempunyai akses untuk mendapatkan nasihat bagi menyelamatkannya. Setidak-tidaknya penjaga atau pengasuh kanak-kanak ini tidak tenggelam punca sementara menunggu bantuan.

Dalam pada itu, pastikan siapa juga yang terlibat dalam penjagaan kanak-kanak dan bayi terlebih dahulu mendapat pendidikan dan kefahaman tentang bagaimana menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan betul.    

Cukuplah Adam Rayqal menjadi mangsa terakhir yang meletakkan noktah kepada kisah-kisah kematian bayi dan kanak-kanak di rumah pengasuh atau di tangan pengasuh. Jadikan tragedi ini sebagai titik tolak untuk kita melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

Al-Fatihah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN